Masihkah anda ingat akan kisah yang dipaparkan di TV yang berjudul DETIK 12 MALAM ? Aku sebelum ini pernah beberapa kali menonton kisah-kisahnya. Namun, kisah-kisah yang dipaparkan walaupun sedikit menjengkelkan kerana kisahnya seolah-olah tergantung dan memerlukan penonton untuk membuat kesimpulan sendiri.... Namun, itu hanyalah kisah yang direka untuk memberi kesedaran kepada penonton akan kejadian-kejadian misteri yang berlaku di dunia ini sama ada kita sedari atau tidak.....
Kisahku hari ini bukanlah berkisarkan Detik 12 Malam yang menggerunkan atau bertujuan untuk menakutkan sesiapa. Ia merupakan detik 12.00 malam yang sangat dinanti-nantikan oleh setiap insan yang menunggu hari lahir dirinya..... Hari ini, aku menantikan ketibaan detik 12 malam di mana aku telah menginjak usia 25 tahun dengan rasmi.... Jika pada usia 25 tahun, ada temanku yang telah mempunyai 3 cahaya mata.... namun aku masih lagi merasakan terlalu awal untukku bergelar ibu mahupun isteri.... Takut bunyinya untuk bergelar seorang ibu kerana tanggungjawab yang perlu digalas apabila bergelar seorang ibu amatlah besar.
Melihat anak-anak muridku yang penuh dengan ragam dan karenah, aku mula terfikir adakah anak-anakku nanti akan tergolong dalam kalangan murid yang patuh dan bijaksana? ataukah mereka akan tergolong dalam kalangan mereka yang sering mencari peluang untuk meraih perhatian guru dengan melakukan pelbagai aksi yang kekadang menjengkelkan mata yang memandang? Kuih yang cantik bermula dari acuan yang cantik tapi bolehkah anak-anak dibentuk hanya menggunakan acuan? Jika anak-anak melakukan kesilapan, siapakah yang harus dipersalahkan? Sering kali guru dipersalahkan atas tindakan murid yang di luar kawalan. Namun, jika ibu bapa sendiri yang mengalami situasi itu, apakah yang bakal mereka lakukan? Acapkali aku dengar keluhan ibubapa yang menyatakan mereka sudah tidak tahu apa yang hendak dilakukan kepada anak mereka untuk membolehkan mereka berjaya. Jika ibubapa sudah berputus asa dalam membentuk anak-anak, wajarkah sekolah dijadikan medium untuk mereka melepaskan tanggungjawab mereka? Tugas menyampaikan ilmu, mendisiplinkan dan mendidik mereka menjadi anak-anak yang baik di letak atas bahu guru-guru di sekolah.... Wajarkah? Anak sendiri namun dididik oleh orang lain?
Berhadapan dengan anak-anak di sekolah amat mencabar bagi insan-insan yang bergelar guru.... Anak-anak masa kini bukannya anak-anak dulu yang baik dan patuh. Anak-anak kini, datang dari pelbagai latar belakang keluarga, ada yang baik, sopan, santun, berbudi pekerti, ada yang hanya mementingkan diri sendiri, ada yang tak tahu membezakan batas-batas pergaulan sesama rakan mahupun adab dengan guru.... Semua ini perlu dilalui oleh hampir semua guru dengan penuh kesabaran....... Semoga ulangtahun kali ini dapat memberikan aku kekuatan untuk berhadapan dengan anak-anak di sekolah... Semoga mereka menjadi insan yang berjaya suatu hari nanti.....
0 comments:
Post a Comment